Batal Ke Puasa Kalau Buat Rawatan Gigi Pada Bulan Ramadan?

Setiap kali menjelangnya bulan Ramadan, persoalan seperti ‘batalkah puasa seseorang itu jikalau dia membuat rawatan gigi?’ masih lagi menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini. Ramai yang masih keliru tentang isu ini membuatkan mereka berasa was-was dan takut untuk melakukan rawatan gigi sehinggakan mereka sanggup memudaratkan diri sendiri. Jadi, dalam artikel kali ini, Farhana Dental akan kongsikan sedikit informasi yang dapat membantu anda memahami dengan lebih terperinci tentang isu ini.

Seperti yang dinyatakan dalam Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), secara amnya, prosedur rawatan pergigian seperti: 

 

🦷 Tampalan, 

🦷 Cuci gigi (scaling), 

🦷 Cabutan gigi. 

🦷 Pengambilan x-ray

🦷 Acuan gigi palsu (impression)

 

Diketahui bahawa prosedur rawatan-rawatan yang dinyatakan ini boleh  dilakukan dan tidak membatalkan puasa. Ia tidak sama sekali membatalkan puasa anda selagi anda tidak telan sesuatu (semasa rawatan sedang dijalankan) yang dapat masuk ke dalam badan anda sehingga mengenyangkan perut. Tetapi jika anda menelan air dengan sengaja, maka puasa anda akan jatuh batal.

 

 

Rawatan/ perkara lain yang tidak membatalkan puasa:

🦷 Suntikan ubat kebas untuk cabutan gigi.

🦷 Rawatan akar

🦷 Memberus gigi, flos dan ubat kumur

 

Bagi rawatan cabutan gigi, rawatan ini akan menyebabkan kesakitan pada gigi anda. Jadi, pakar kami akan memberikan ubat penahan sakit bagi mengurangkan kesakitan yang anda akan alami. Anda boleh makan ubat ini semasa sahur dan selepas berbuka. Tetapi jika rasa kesakitan itu melampau dan menyebabkan ketidakselesaan kepada anda, anda dibolehkan untuk berbuka puasa dan mengambil ubat penahan sakit untuk mengurangkan kesakitan.

Sakit gigi dan ketidakselesaan yang terjadi di dalam mulut ini sebenarnya dianggap sebagai kes darurat. Jadi anda jangan risau kerana melakukan rawatan gigi semasa sedang berpuasa sudah tentunya dibolehkan. Jangan pula disebabkan rasa ragu-ragu , anda enggan membuat rawatan / cabutan ke atas gigi yang sakit. Itu sudah dikira seperti memudaratkan diri sendiri.

 

 

Rawatan gigi yang melibatkan cecair:

🦷 Cuci gigi (scaling)

🦷 Tampalan gigi (filling)

🦷 Cabutan gigi

🦷 Whitening

🦷 Veneer

🦷 Crown & Bridge

🦷 Minor Oral Surgery (MOS)

 

Walaupun rawatan pergigian seperti cuci gigi (scaling) dan tampalan (filing) dilakukan dengan menggunakan alat yang mengeluarkan air suling ke dalam mulut, jangan khuatir kerana alat penyedut (suction device) juga akan digunakan untuk menyedut air liur dan air suling yang terkumpul dalam mulut anda semasa rawatan sedang dijalankan. Penyemburan air suling ini sebenarnya sangatlah diperlukan supaya alatan yang digunakan semasa operasi tidak menjadi panas disebabkan oleh haba yang terhasil. Hal ini kerana, alatan yang panas dapat memudaratkan gigi anda. 

Jadi jangan risau kerana pakar-pakar kami pasti akan sentiasa mengingatkan anda untuk meludah semasa rawatan sekiranya air yang terkumpul itu menyebabkan ketidakselesaan kepada anda. 

 

 

Bolehkah kita menggosok gigi ketika sedang berpuasa?

 

Selain daripada rawatan gigi, rutin pembersihan gigi juga memainkan peranan yang sangat penting semasa anda sedang berpuasa. Hal ini kerana, jika pembersihan gigi tidak dititikberatkan, anda akan mengalami masalah seperti mulut berbau. Ketika kita sedang berpuasa, bau mulut akan menjadi teruk disebabkan oleh kekurangan air liur. Masalah seperti inilah yang menjadi penyebab utama kenapa orang sekeliling berasa tidak selesa dan menjauhkan diri mereka daripada anda. Hal ini terjadi disebabkan oleh masih ada segelintir orang yang percaya bahawa menggosok gigi ketika berpuasa boleh membatalkan ibadah puasa kita. 

Seperti yang dinyatakan oleh Salihoddin (2023), Sheikh Ibn Baaz mengatakan, hukum memberus gigi ketika berpuasa adalah harus, asalkan anda tidak telan ubat gigi yang digunakan. Jika anda dapat mengawal cara pemberusan dengan baik tanpa menelan apa-apa, maka hukumnya adalah harus. Di samping itu, dalam Islam, Nabi juga mengajar dan menggalakkan kita untuk bersugi (memberus gigi) terlebih dahulu setiap kali sebelum menunaikan solat.

Walau bagaimanapun, hukum memberus gigi juga boleh dikategorikan sebagai makruh.

Dalam Mazhab Syafie, majoriti memakruhkan bersiwak (menggosok gigi) selepas tergelicirnya matahari iaitu selepas Zuhur. Sebelum Zuhur pula majoriti mengatakan hukumnya adalah harus.

Berdalilkan hadis;

 

“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Jika anda beramal dengan hadis ini, maka hukum memberus gigi selepas tergelincirnya matahari menjadi makruh. Berlandaskan hadis nabi, sesungguhnya membiarkan mulut menjadi ‘busuk’ itu adalah lebih afdhal.

Pasa masa kini, bidang kerjaya kita banyak memerlukan kita untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan ramai orang. Jadi, jika anda tidak menjaga kebersihan mulut dengan baik, adakah anda akan berasa selesa ketika bergaul dan berbual dengan orang lain? Hal ini kerana, jika mulut anda berbau, sudah tentunya masalah seperti ini boleh menjejaskan dan mengurangkan konsentrasi orang lain ketika sedang dalam perbincangan bersama anda. Jadi, untuk menjawab persoalan seperti ini, menggosok gigi lebih cenderung kepada harus dengan kadar yang perlu sahaja iaitu cukup untuk menghilangkan bau mulut. 

Kesimpulannya, Islam adalah agama yang mudah dan tidak pernah membebankan umatnya. Islam juga mengajar kita untuk sentiasa menjaga dan mementingkan kebersihan dan kesihatan diri kita sendiri. Jadi, jangan disebabkan berpuasa, anda mengabaikan kebersihan dan kesihatan mulut anda. Jangan juga disebabkan berpuasa, anda memudaratkan kesakitan dan penyakit gigi yang anda sedang alami. Datanglah ke klinik kami supaya pakar gigi kami dapat membantu memulihkan kembali kesihatan gigi anda.

Diharapkan artikel pada kali ini dapat membantu anda sedikit sebanyak dalam menyelesaikan persoalan dan permasalahan anda tentang penjagaan gigi ketika berpuasa. Semoga bermanfaat.

Salam Ramadan Kareem daripada Farhana Dental.💙

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *